PM tekankan pembangunan AI perlu ihsan, bukan gugat nilai kemanusiaan

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan kecerdasan buatan (AI) mesti berpaksikan nilai kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab moral, bukan semata-mata didorong oleh kecekapan teknologi serta keuntungan ekonomi.

Perdana Menteri menekankan bahawa kemajuan teknologi tidak seharusnya menghakis nilai kemanusiaan, malah perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh martabat insan, keadilan sosial dan kesejahteraan masyarakat sejagat.

Beliau berkata, dunia kini berdepan persoalan lebih besar daripada sekadar kemajuan teknologi apabila konflik, peperangan, ketidaksamaan dan penindasan masih berterusan walaupun kecerdasan buatan berkembang pesat.

“Kita menyokong kemajuan teknologi termasuk AI. Namun jika ia memasuki rumah, sekolah, hospital, pejabat, institusi awam malah imaginasi kita, maka cabaran yang dihadapi adalah amat besar.

“Kita mesti membina sistem yang berkhidmat untuk manusia bagi memperkayakan nilai kemanusiaan, bukannya merendahkannya.

“Ia bagi memastikan institusi kekal bertanggungjawab kepada rakyat serta masyarakat terus mengingati perkara yang tidak boleh diwarisi oleh mesin iaitu hati nurani, ihsan, rahmah, tanggungjawab, integriti dan keprihatinan terhadap sesama insan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa menyampaikan syarahan khas bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin semasa melawat Universiti Tokyo dalam lawatan rasmi tiga hari ke Jepun, hari ini, lapor Buletin TV3.

Selain itu, Anwar turut mengkritik pemikiran sesetengah golongan masyarakat yang terlalu taksub mengejar kemajuan teknologi sehingga mengabaikan realiti ketidaksamaan sosial yang masih berleluasa di pelbagai peringkat.

Menurutnya, terdapat jurang yang semakin melebar antara golongan kaya dan berkuasa dengan kelompok miskin serta lemah, selain masih menganggap eksploitasi sesama manusia sebagai sesuatu yang normal.

“Ini sebenarnya bukan alasan yang boleh diterima kerana kita tidak bersedia berdepan hakikat yang tidak selesa. Apakah hakikat itu?.

“Ia adalah kecenderungan untuk mewajarkan obsesi baharu ini sambil menutup mata terhadap ketidaksamaan sosial yang ketara di bandar-bandar kita, dalam masyarakat kita, negara kita, rantau kita dan juga di seluruh dunia, selain jurang yang semakin melebar antara golongan yang sangat kaya dan berkuasa dengan mereka yang tertindas serta lemah.

“Mengapakah kita terus menganggap sebagai sesuatu yang normal berlakunya eksploitasi sesama manusia, sama ada lelaki terhadap lelaki, lelaki terhadap wanita atau wanita terhadap lelaki, hanya kerana kelebihan teknologi yang dimiliki oleh satu pihak berbanding pihak lain,” tegasnya.

Justeru, beliau menyifatkan penggunaan AI mampu membantu dalam banyak perkara, namun masyarakat tidak boleh membiarkan teknologi itu menghakis nilai kemanusiaan.

Syarahan itu dihadiri lebih 500 peserta terdiri daripada pelajar Universiti Tokyo dan juga ahli akademik.

Terdahulu, Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat Presiden Universiti Tokyo, Professor Dr. Teruo Fujii.

Anwar tiba di sini semalam bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari sehingga esok atas jemputan rakan sejawatannya, Sanae Takaichi.

Beliau turut dijadualkan mengadakan sesi meja bulat bersama tokoh perniagaan dan ketua industri Jepun serta pertemuan dengan beberapa syarikat utama negara itu pada hari ini dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia.

Esok, Anwar bakal menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31 bertajuk ‘Navigating Strategic Uncertainty’ yang menyentuh peranan Malaysia dalam mengemudi landskap geopolitik kompleks serta meneroka peluang baharu untuk kemakmuran serantau.

Sejurus itu, beliau diberikan Sambutan Rasmi di Pejabat Perdana Menteri Jepun sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Takaichi bagi membincangkan kerjasama Malaysia-Jepun serta pelbagai isu serantau dan antarabangsa.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img