SUSPEK lelaki yang disyaki mencuri beg tangan milik seorang penuntut universiti ketika solat Asar di Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang di Alor Gajah pada Sabtu lalu direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap penganggur berusia 28 tahun sehingga 12 Jun itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kamarul Aris Kamalluddin di Kompleks Mahkamah Alor Gajah.
Perintah reman itu bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Sebelum ini tular video berdurasi 23 saat memaparkan seorang lelaki berseluar pendek melarikan beg tangan mangsa.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.45 petang di ruang solat wanita.
Mangsa berusia 19 tahun ketika itu solat bersendirian dan meletakkan beg yang mengandungi dokumen serta barangan peribadi di hadapan sejadah.
Difahamkan suspek berjaya ditangkap jam 8.35 malam tadi di kawasan Pegoh Alor Gajah sebelum permohonan reman dibuat pagi ini.






