Dua wanita maut tercampak kemalangan kereta dan lori

DUA wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki mereka dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah lori yang dipercayai mengalami kerosakan di Jambatan Batang Sadong dekat Asajaya, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Nurfazilah Ramli, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian bersama seorang lagi wanita yang identitinya masih belum diperoleh.

Pemandu Perodua Myvi, Harudin Ramli, 30, mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital oleh pasukan perubatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.30 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan tiba di lokasi pada jam 6.51 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi serta sebuah lori yang dipercayai mengalami kerosakan.

“Akibat kemalangan itu, dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pemandu Myvi yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori, Wan Aidiladha Wan Hadani, 22, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan turut menjalankan kerja pembersihan dengan menghapuskan sisa tumpahan minyak dan serpihan kemalangan bagi memastikan laluan selamat digunakan pengguna jalan raya,” katanya.

Operasi yang membabitkan lima anggota bomba bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) itu tamat sepenuhnya pada jam 9.29 pagi.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img