JKDM Sabah rampas RM2.9 juta kokain, ganja cuba diseludup melalui kurier

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis kokain dan ganja melalui perkhidmatan kurier di Tawau, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 21 Mei lalu, dadah bernilai lebih RM2.9 juta itu dirampas dalam dua kotak yang ditemukan di premis perkhidmatan kurier.

Pengarah JKDM Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan dibuat oleh sepasukan operasi penguatkuasaan JKDM Tawau kira-kira jam 11.45 pagi.

“Terdapat dua kotak mengandungi bahan yang disyaki dadah. Hasil pemeriksaan dalam kotak pertama menemukan 10 plastik putih disyaki mengandungi kokain dianggarkan seberat 4.6 kilogram (kg) dengan nilai RM2,048,823 manakala kotak kedua menemui 10 bungkusan aluminium foil mengandungi bunga kering yang dimampatkan disyaki ganja seberat 10.65kg dengan nilai RM851,702.80.

“Modus operandi kes ini adalah dengan menghantar bahan tersebut menggunakan perkhidmatan kurier di Tawau untuk dihantar ke Lahad Datu berdasarkan maklumat penghantaran,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam, di Kota Kinabalu hari ini, lapor Sinar Harian.

Mengulas mengenai destinasi sebenar kokain itu dihantar memandangkan dadah tersebut jarang diseludup ke Sabah, beliau menjelaskan, pihaknya masih mengenal pasti sama ada ia untuk pasaran tempatan atau sebaliknya.

“Kita belum pasti sama ada untuk kegunaan tempatan atau luar. Ini adalah rampasan kokain yang pertama di Sabah.

“Namun secara keseluruhan, nilai bagi rampasan ini adalah sebanyak RM2,900,525.80 dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ahmad Taufik memaklumkan JKDM Sabah turut menyita sebuah kenderaan jenis Honda Jazz bernilai RM63,250 yang disyaki tidak berkastam di Kampung Tinagat, Tawau, baru-baru ini.

“Pada jam 12.30 tengah hari pada 22 Mei lalu, JKDM Tawau merampas sebuah Honda Jazz yang disyaki tidak berkastam selepas didapati tidak mempunyai pengecualian duti dan cukai yang sah mengikut Butiran 14 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

“Modus operandi adalah dengan menyembunyikan kenderaan di kawasan perkampungan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img