JUMLAH mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 5,141 orang daripada 2,160 keluarga setakat jam 8 pagi ini dan Tawau menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di negeri ini.
Bilangan mangsa yang dipindahkan di seluruh negeri itu mencatatkan peningkatan berbanding 4,761 orang daripada 1,828 keluarga semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari empat daerah, iaitu Pitas, Kota Marudu, Paitan dan Tawau ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara.
Menurut kenyataan itu, Pitas merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 2,120 orang diikuti Kota Marudu (1,929 orang), Paitan (847 orang) dan Tawau (245 orang).
Di Tawau, seramai 245 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau.
Hujan berterusan selama beberapa jam sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air sekali gus mengakibatkan banjir kilat.
Antara lokasi terjejas adalah Kampung Tanjung Batu Keramat, Kampung Baru, Kampung Rawa-Rawa, Kampung Ranggu, Taman Fujimart, Taman Setia, Jalan Shin Onn dan Jalan Takada.
Banjir di keempat-empat daerah telah menjejaskan 80 kampung namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.


