TINDAKAN dua lelaki tempatan dipercayai mengedar lebih 130 kilogram dadah jenis syabu membawa padah apabila mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.
Tertuduh, Ng Chuan Tong, 51, dan Herman Patte, 35, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin tanpa sebarang pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar dadah seberat 130,575.18 gram di kawasan Batu 15, Jalan Apas pada kira-kira jam 9.30 malam, 21 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin yang tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh diikat jamin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 2 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Sebelum ini, kedua-dua tertuduh direman selama 14 hari selepas ditahan dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan penemuan sejumlah besar dadah disyaki syabu yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).


