TLDM dijangka terima 3 kapal LMSB2 penghujung 2027 – Mohamed Khaled

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka menerima tiga Kapal Misi Pesisir Kelompok Kedua (LMSB2) penghujung tahun 2027 seperti yang dirancang pada peringkat awal projek itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, proses pembinaan kapal-kapal terbabit setakat ini berjalan lancar mengikut perancangan ditetapkan seperti kontrak yang dimeterai pada 2024 bersama syarikat Turkiye, STM.

“Kita sangat bersyukur kerana semenjak ditandatangani dalam tahun 2024, kemajuan pembinaan kapal-kapal itu mengikut jadual.

“Pada hari Ahad yang lepas kapal kedua LMS telah pun dilancarkan dan diberikan nama (Raja Laut),” katanya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM 2026 di Wisma Perwira ATM di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kapal pertama dijangka diserahkan kepada TLDM pada Oktober 2027, diikuti kapal kedua pada November dan ketiga pada Disember tahun sama.

Media sebelum ini melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Istanbul, Turkiye bagi menyaksikan majlis penamaan dan pelancaran kapal kedua LMSB2 TLDM.

Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya sedang membina rangkaian armada berkeupayaan melaksanakan penugasan merentasi pelbagai spektrum, daripada operasi keselamatan maritim sehingga tahap peperangan.

Beliau berkata, projek LMSB2 yang mula dibina sejak Disember 2024 berjalan lancar sebagai antara langkah pemodenan aset ketenteraan dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim semasa.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan menerima permohonan daripada syarikat pertahanan Norway untuk mengadakan perbincangan berhubung tuntutan difailkan kerajaan terhadapnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan proses tuntutan itu masih diteruskan.

“Kita memang ada terima permintaan daripada syarikat untuk berbincang. Apa pun tuntutan kita masih jalan. Kita belum jumpa dan kita tak tahu apa yang dia nak bincang,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan menuntut pampasan melebihi RM1 bilion daripada syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace AS, susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru antikapal (NSM) yang diperoleh Malaysia bagi program kapal tempur pesisir (LCS).

Katanya, Malaysia sudah membayar kira-kira 95 peratus daripada nilai kontrak bernilai €126 juta (sekitar RM583 juta), manakala tuntutan keseluruhan turut merangkumi kos tidak langsung termasuk pengubahsuaian dan integrasi sistem persenjataan alternatif bagi kapal terbabit.

Pada Mei lalu, kerajaan Norway menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi pertahanan tertentu atas alasan kawalan eksport lebih ketat, sekali gus menjejaskan pembekalan sistem NSM untuk LCS Malaysia.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img