AS pertimbang jual NSM kepada Malaysia – Mohamed Khaled

AMERIKA Syarikat (AS) memberi jaminan akan mempertimbangkan penjualan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia, sebagai penyelesaian kepada isu dihadapi negara berhubung perolehan sistem persenjataan itu dari Norway.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu disuarakan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dalam pertemuan dua hala di sela-sela Dialog Shangri-La (SLD) IISS Ke-23 yang bermula hari ini hingga Ahad, di Singapura.

Mohamed Khaled berkata, beliau turut memaklumkan kepada Hegseth mengenai isu dihadapi Malaysia berkaitan pembelian NSM dari Norway, serta mendapatkan pandangan AS mengenai perkara itu.

“Kita telah meminta pandangan AS bagi membantu mencari penyelesaian kepada isu yang dihadapi, kerana sebagaimana sedia maklum, terdapat sebuah syarikat AS mengeluarkan misil sama seperti Norway.

“Kita telah bertanya sama ada AS bersedia membenarkan penjualan misil itu kepada kita bagi menangani masalah yang dihadapi,” katanya hari ini, lapor Bernama.

Sebelum ini, Kerajaan Norway dilapor membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia dan sistem pelancar berkaitannya, atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.

Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal tempur pesisir (LCS) baharu.

Memaklumkan lanjut, Mohamed Khaled berkata, AS turut mencadangkan perkongsian maklumat berkaitan Maritime Domain Awareness (MDA) yang dilaksanakan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, kerjasama itu meliputi penubuhan Jawatankuasa Perancangan Bersama, peluasan perkongsian maklumat, serta persiapan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Malaysia-Australia dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang akan datang.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Australia atas pelaksanaan National Defence Strategy (NDS) 2026 dan Integrated Investment Program (IIP) 2026 sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan keupayaan serta kesiapsiagaan pertahanannya,” katanya.

Mengenai Kanada pula, Mohamed Khaled berkata, Malaysia dan negara itu bersedia untuk memperkukuhkan hubungan pertahanan menerusi kerjasama lebih formal.

“Kita mencadang supaya diwujudkan satu bentuk kerjasama pertahanan secara formal yang ditandatangani kedua-dua negara, kerana ketika ini kerjasama yang ada tidak berasaskan mana-mana perjanjian,” katanya.

Dialog Shangri-La IISS 2026 anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di Singapura menghimpunkan menteri pertahanan, ketua angkatan tentera serta diplomat dari puluhan negara bagi membincangkan isu keselamatan dan pertahanan serantau serta global.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img