JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita 49 kenderaan yang dipandu warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk memandu tanpa lesen sah dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) di beberapa lokasi di Melaka, hari ini.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, daripada jumlah itu, 44 kenderaan yang disita adalah motosikal manakala lima lagi kereta.
Beliau berkata, operasi yang dijalankan dari jam 6.30 pagi hingga 11.30 pagi itu turut mendapati 22 daripada pemandu yang ditahan ialah warga Rohingya, diikuti Pakistan (10), Bangladesh (sembilan), Indonesia (lima), Vietnam (dua) dan India (seorang).
Menurutnya, tiga kesalahan utama yang dikesan membabitkan warga asing berkenaan ialah memandu tanpa lesen memandu yang sah, tiada cukai jalan dan tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Kebanyakan kenderaan yang digunakan warga asing itu adalah milik warganegara tempatan dan dipercayai digunakan bagi tujuan pekerjaan atau perniagaan.
“Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan warga asing itu mengenali pemilik kenderaan dan mengaku pemilik berkenaan adalah majikan mereka, namun kesahihan perkara itu masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media hari ini.
Siti Zarina berkata, kenderaan yang disita itu adalah sebahagian daripada 147 kenderaan yang diperiksa dalam operasi yang dijalankan di sekitar Klebang, Kampung Limbongan, Merlimau, Jasin dan Melaka Sentral.
Katanya, sepanjang operasi berkenaan, JPJ turut mengeluarkan 98 notis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Beliau menegaskan pemilik kenderaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggunaan kenderaan mereka dan tidak seharusnya membenarkan warga asing memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen yang sah.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, JPJ Melaka telah memeriksa sebanyak 2,322 kenderaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 177 kenderaan disita termasuk 152 kenderaan yang dipandu warga asing.
Menurutnya, dalam tempoh sama, sebanyak 774 kenderaan telah diambil tindakan manakala 951 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.






