Firma Jepun berminat teruskan pelaburan di Malaysia – Johari

BEBERAPA syarikat utama Jepun menyatakan minat untuk terus melabur di Malaysia kerana melihat negara ini sebagai rakan kongsi boleh dipercayai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu susulan pertemuan antara delegasi Malaysia dan pemain industri utama di Jepun sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu.

“Dalam pertemuan kami dengan pemain industri di Jepun, kami mendapati majoriti daripada mereka menantikan untuk meneruskan pelaburan mereka di Malaysia,” katanya pada sidang media di Tokyo hari ini.

Menurut Johari, pegawai kerajaan Jepun juga gembira apabila dimaklumkan Malaysia berhasrat untuk terus memperkukuh hubungan perdagangannya dengan negara itu.

“Kita mahu berdagang dengan semua pihak selagi ia memberi manfaat bersama. Kita tidak hanya memberi tumpuan kepada satu atau dua rakan dagang,” katanya.

Tambah beliau, terdapat beberapa isu dibangkitkan oleh syarikat Jepun dalam pertemuan itu, namun kebanyakannya bersifat teknikal dan operasi.

Johari berkata, beliau sendiri akan meneliti isu-isu yang dibangkitkan oleh syarikat terbabit.

Beliau menambah, bidang lain yang turut dibincangkan termasuk bahan api penerbangan mampan, semikonduktor serta pelaburan elektrik dan elektronik.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, beliau bersama Johari dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong mengambil kesempatan untuk bertemu secara individu dengan syarikat-syarikat utama Jepun.

Beliau menamakan Mitsubishi Corp, Denso dan Marubeni sebagai antara syarikat yang ditemui mereka sepanjang lawatan itu, sambil menyatakan beberapa syarikat berkenaan mempunyai hubungan lama dengan Malaysia.

Anwar berkata, lawatan itu bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala dengan Jepun, khususnya dalam perdagangan, pelaburan dan teknologi termaju.

Jepun muncul sebagai pelabur asing terbesar Malaysia pada suku pertama 2026, menyumbang RM21.5 bilion daripada keseluruhan RM92.8 bilion pelaburan diluluskan, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ia diikuti China dan Amerika Syarikat masing-masing dengan RM10.1 bilion, Singapura (RM6.7 bilion) dan Thailand (RM2.5 bilion).

MIDA dalam kenyataan pada Isnin berkata, sebanyak 93.6 peratus daripada pelaburan Jepun yang diluluskan pada suku pertama disalurkan kepada aktiviti transformasi digital, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi tinggi dan digital.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img