Bersatu sedia penuhi syarat namun Pas tetap dengan keputusan – Marzuki

BERSATU sudah bersetuju dengan syarat dikemukakan Pas sebelum parti itu memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik antara dua parti itu, Isnin lalu.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Presiden Bersatu, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan, beliau telah mengatur pertemuan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa pada Khamis minggu lalu bagi membincangkan isu yang mencetuskan keretakan hubungan dalam dua parti sekutu Perikatan Nasional (PN) itu.

Menurutnya, Annuar dalam pertemuan itu menyatakan antara langkah untuk menyelesaikan konflik itu adalah membenarkan parti Melayu-Islam lain menyertai PN serta berdamai dengan kumpulan bekas pemimpin Bersatu yang diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah, bekas Timbalan Presiden Bersatu dipecat parti itu pada 13 Februari lalu ketika kemuncak perebutan kepimpinan dengan Muhyiddin.

Dalam hantaran di Facebook malam tadi, Marzuki mendakwa, Bersatu tiada halangan untuk menerima kemasukan parti baharu ke dalam PN.

Malah menurut beliau, Muhyiddin sendiri menjadi individu pertama yang menghimpunkan parti-parti berkenaan melalui gabungan longgar Ikatan Prihatin Rakyat.

“Perkara lain dibangkitkan adalah keperluan Bersatu berdamai dengan kumpulan ‘Reset’. Saya memberitahu Annuar bahawa luka masih baharu, tetapi masa akan menyembuhkannya. Berilah kami sedikit masa.

“Namun, jika perkara ini menjadi kunci untuk menyelesaikan konflik, Bersatu bersedia membincangkannya demi memelihara kepentingan PN,” katanya dalam hantaran itu.

Marzuki mendakwa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kemudian menghantar surat pada 6 Jun yang menetapkan tiga syarat bagi memulihkan hubungan itu, iaitu membersihkan persepsi negatif Bersatu terhadap Pas, menerima kemasukan parti lain ke dalam PN, serta berdamai dengan kumpulan Hamzah.

Katanya, beliau berasa lega apabila menerima surat Takiyuddin kerana kandungannya tidak jauh berbeza dengan perkara yang disampaikan Annuar, selain syarat berkenaan boleh diterima.

Bagaimanapun ujarnya, beliau dan Muhyiddin mahu perkara itu dibawa terlebih dahulu ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk dibincangkan, selaras dengan prosedur parti.

“Keesokan harinya, Muhyiddin membalas surat Takiyuddin dengan menyatakan kesediaan Bersatu untuk mempertimbangkan syarat Pas apabila Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bermesyuarat.

“Saya diminta Takiyuddin menyerahkan surat itu kepada seorang rakan daripada Pas, yang akan menyampaikannya kepada Takiyuddin. Dalam pertemuan ringkas itu, saya memberi bayangan ketiga-tiga syarat berkenaan tidak terlalu sukar untuk dipenuhi Bersatu.

“Namun, keesokan harinya, Jawatankuasa Pas Pusat memutuskan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu,” katanya dalam hantaran bertajuk `Barang yang lepas dikenang’ sebagai catatan sejarah menukilkan beberapa peristiwa penting di ambang perpisahan Bersatu dan Pas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Isnin lalu mengumumkan parti itu menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, yang sebelum ini didakwanya menjadi punca hubungan antara kedua-dua parti tegang.

Abdul Hadi berkata, Pas sebaliknya akan meneroka pembentukan pakatan politik baharu bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang dan PRU akan datang, dengan matlamat ‘penyatuan ummah’.

Bagaimanapun, Pas kekal sebagai komponen PN bersama Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img