DUA suspek termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes samun pemandu e-hailing yang mengakibat mangsa mengalami kecederaan, dalam kejadian di Terminal Bas Tun Sri Lanang, Kota Tinggi awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 2.46 pagi semalam berkaitan kejadian samun bersenjatakan pisau menyebabkan pemandu e-hailing berusia lingkungan 30-an cedera.
“Susulan laporan itu, kira-kira jam 11 pagi semalam polis berjaya menahan seorang wanita berusia lingkungan 20-an di sekitar Terminal Bas Tun Sri Lanang diikuti pada jam 2.30 petang hari ini, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an di sekitar Dataran Larkin, Johor Bahru.
“Lelaki itu dipercayai terbabit dalam kejadian terbabit. Polis juga merampas pisau yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek wanita direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi, manakala suspek lelaki akan direman esok di mahkamah sama.
Sementara itu, menerusi maklumat yang tular dalam media sosial, mangsa didakwa menerima 10 jahitan di leher akibat kejadian itu.






