Daya tahan negara hadapi krisis bekalan global turut bergantung tingkah laku rakyat

KERAJAAN boleh memperkukuh penyelarasan, menjamin rantaian bekalan dan menambah baik perlindungan ekonomi dalam krisis bekalan global yang melanda ketika ini tetapi daya tahan negara juga bergantung kepada tingkah laku rakyat.

Ketua Sekretariat Pasukan Petugas Pengurusan Krisis  Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Nurhisham Hussein berkata, salah satu  sebab ramai rakyat Malaysia masih merasakan kehidupan berjalan seperti biasa hari ini adalah hasil pelbagai lapisan intervensi secara senyap oleh kerajaan dapat menyerap gelombang pertama krisis itu.

‘’Bekalan bahan api masih stabil. Barangan keperluan masih boleh didapati. Rangkaian logistik masih beroperasi. Namun, kestabilan dalam krisis seperti ini tidak berlaku secara automatik. Ia perlu dipelihara dan diurus secara aktif setiap hari,di sinilah kita sebagai rakyat boleh memainkan peranan.’’ katanya dalam artikel yang disiarkan oleh Berita Harian.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak meminta rakyat membuat perubahan gaya hidup secara drastik.

‘’ Ini bukan seruan untuk berhenti berbelanja; sebaliknya seruan untuk lebih berhemah. Pertimbangkan isu pembaziran makanan. Kira-kira 10 peratus makanan di Malaysia hilang atau terbuang pada peringkat pengedaran sebelum sampai kepada pengguna,’’ katanya.

Nurhisham berkata, dalam keadaan gangguan bekalan yang berpanjangan, tahap pembaziran seperti itu  semakin sukar untuk diteruskan.

Beliau menegaskan,  mengurangkan pembaziran, mengelakkan pembelian panik dan menggunakan sumber secara lebih bertanggungjawab mungkin kelihatan seperti tindakan kecil pada peringkat individu, tetapi pada skala nasional, ia dapat memberikan ruang bernafas yang amat berharga kepada negara ketika berdepan gangguan bekalan global yang berpanjangan.

‘’Jika 100 hari pertama krisis ini berkisar kepada usaha menyerap kejutan awal, 100 hari seterusnya akan menguji sejauh mana kerajaan, perniagaan dan masyarakat dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran global yang semakin rapuh dan tidak menentu,’’ katanya.

Beliau berkata,  Malaysia masih mempunyai ruang untuk mengharungi krisis ini kerana langkah-langkah intervensi telah dimulakan lebih awal.

‘’Namun, daya tahan jangka panjang akhirnya bergantung kepada kesediaan kita semua untuk menyesuaikan diri sebelum keadaan memaksa kita berbuat demikian,’’ katanya.

Dalam artikel itu Nurhisham turut menjelaskan punca Malaysia masih mempunyai ruang untuk bergerak hari ini.

Katanya, ia adalah kerana beberapa reformasi yang bertujuan memperkukuh disiplin fiskal dan menyalurkan bantuan secara lebih bersasar telahpun dimulakan sebelum krisis ini tercetus.

‘’Program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) direka untuk membantu isi rumah yang rentan menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ketidaktentuan ekonomi, dan ia terus memainkan peranan sedemikian hari ini,’’ katanya.

Beliau berkata, mekanisme bahan api bersasar seperti BUDI95 dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membantu mengurangkan tekanan ke atas isi rumah sambil menyokong pengendali logistik dan rangkaian pengangkutan komersial walaupun harga bahan api global meningkat dengan ketara.

‘’Daripada bergantung sepenuhnya kepada subsidi menyeluruh, kerajaan berusaha menumpukan bantuan kepada isi rumah dan sektor yang paling terkesan akibat peningkatan kos. Ini termasuk sokongan pembiayaan berjumlah RM15 bilion daripada Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kredit mikro bagi membantu PMKS menghadapi cabaran semasa,’’ katanya.

Selain itu, kata Nurhisham, Malaysia juga dapat memanfaatkan institusi dan mekanisme yang dibangunkan selama bertahun-tahun.

‘’Petronas serta infrastruktur penapisan, penyimpanan dan perdagangan tenaga negara diwujudkan sebagai tindak balas kepada krisis tenaga pada era 1970-an. Keupayaan kerajaan untuk mengumpulkan data inventori dengan pantas pula merupakan hasil pengalaman negara mengurus pandemik Covid-19,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img