Padah hina polis, pembantu kedai didenda RM100

SEORANG pembantu kedai makan didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis dalam kejadian di Sentul, tiga hari lalu.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Syarifuddin Abd Latif, 25, dan memerintahkan dia dipenjara sehari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Difahamkan, tertuduh membayar denda yang dikenakan sejurus prosiding selesai.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syarifuddin didakwa menggunakan perkataan kesat terhadap seorang anggota polis lelaki berusia 27 tahun dengan niat membangkitkan kemarahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Dato’ Senu, Sentul pada jam 8.24 pagi, 8 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum dengan alasan tertuduh bekerja sebagai pembantu kedai makan dan menanggung ibu bapanya.

Peguam itu turut memaklumkan bahawa Muhammad Syarifuddin telah memohon maaf kepada anggota polis terbabit serta mahkamah atas perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya menghormati penjawat awam yang menjalankan tugas.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM100 selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh serta fakta kes.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img