AHLI Parlimen Bayan Baru daripada PKR Sim Tze Tzin berkata, Pas tidak perlu menang 112 kerusi untuk membentuk kerajaan sebalik hanya perlu menawan hati pengundi konservatif.
Melalui Facebook beliau, Sim Tze Tzin berkata, senario berkemungkinan berlaku adalah PAS-Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menang 71 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) pula meraih 23 kerusi.
Beliau yang mengulas kebimbangan sikap tidak peduli dalam kalangan pengundi Cina yang boleh menyaksikan Pas mengambil alih tampuk kuasa berkata, dalam landskap politik semasa, persaingan secara umumnya melibatkan dua blok pengundi: golongan konservatif dan golongan progresif.
Katanya, blok konservatif secara umum terdiri pengundi beragama di luar bandar dan bandar, manakala pengundi progresif kebanyakannya pelbagai kaum dan berada di kawasan bandar.

Sim berkata pada PRU akan datang, undi progresif akan berpecah antara PH, BN, dan kuasa ketiga seperti Muda, Bersama, serta Warisan.
Beliau berkata, pengundi konservatif secara umum akan terus mengundi Pas dan turun memilih ‘dalam apa jua keadaan sekalipun’, sambil menambah Pas mampu memperoleh lebih 71 kerusi pada PRU16.
“Perpecahan dalam kalangan pengundi progresif berkemungkinan besar memberi kelebihan kepada Pas. Pastidak perlu menang 113 untuk membentuk kerajaan seterusnya, mereka hanya perlu kuasai blok terbesar,’’ katanya.
Semalam FMT melaporkan, bekas Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek, berkata Pas boleh mengambil alih kuasa ‘secara lalai’ jika pengundi Cina memboikot pilihan raya atau membuat undi rosak.
“Kita mempunyai 222 kerusi Parlimen. Untuk menguasai kerajaan pusat, sama ada anda menyertai (pihak) yang lain atau anda mesti mempunyai 113 – angka ajaib itu,” katanya.
Chua berkata, isu tersebut sememangnya sedang ‘dibincangkan secara senyap’ dalam kalangan pengundi Cina, dengan beberapa pemimpin PH menegaskan Pas mampu mengambil alih Putrajaya jika pengundi tidak menyokong gabungan berkenaan.






