JPJ Kedah sita lima kenderaan mewah dalam Ops Luxury

LIMA kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dalam Ops Luxury selepas dikesan menggunakan cukai jalan dan perlindungan insurans yang sudah tamat tempoh ketika rondaan penguatkuasaan di beberapa lokasi sekitar negeri ini, semalam.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, tindakan itu dilaksanakan menerusi Ops Luxury yang dilancarkan JPJ Malaysia bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap pelbagai kesalahan membabitkan kenderaan mewah di seluruh negara.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan terbabit gagal mematuhi keperluan lesen kenderaan motor dan perlindungan insurans yang masih sah.

“Ia sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kesemua kenderaan disita untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) APJ 1987 berkaitan lesen kenderaan motor tamat tempoh serta Seksyen 90(1) APJ 1987 kerana tiada perlindungan insurans,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, semua pemandu yang diperiksa adalah warga tempatan.

Katanya, ada antara mereka memberi alasan berdepan masalah kewangan selain terlupa memperbaharui cukai jalan dan perlindungan insurans kenderaan masing-masing.

Stien berkata, JPJ tidak akan berkompromi dalam aspek pematuhan undang-undang jalan raya tanpa mengira jenis atau nilai kenderaan yang digunakan.

“Tiada pengecualian dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan pemilik kenderaan diingatkan supaya sentiasa memastikan cukai jalan serta perlindungan insurans diperbaharui bagi mengelakkan tindakan tegas diambil,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img