JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Vellfire milik seorang pempengaruh terkenal disita menerusi Ops Luxury yang diadakan di sekitar Kota Bharu hari ini.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, kenderaan tersebut ditahan dan disita pada jam 1 petang kerana cukai jalan dan insurans telah tamat tempoh.
Beliau berkata, kenderaan itu dipandu oleh adik pempengaruh berkenaan yang berusia lingkungan 20-an sebelum ditahan oleh anggota dan pegawai JPJ bertugas.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans dan tindakan diambil JPJ adalah menyita kenderaan itu.
“Kenderaan itu dibawa ke JPJ Panji untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan JPJ mengenakan tindakan sita bagi mengelakkan kesalahan berulang.
“Jika saman yang dikeluarkan diselesaikan, pemilik kenderaan boleh memohon pelepasan dan mengambil semula kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Selain itu, Mohd Misuari berkata, dalam tempoh seminggu Ops Luxury sehingga hari ini, sebanyak 62 kenderaan mewah telah disita.
Beliau memberitahu, kenderaan yang disita itu atas pelbagai kesalahan dan 80 peratus daripadanya disita kerana pemilik tidak memperbaharui cukai jalan.


