Toreh tayar kerana marah dihalau, pekerja kedai makan didenda RM4,000

SEORANG pekerja kedai makan menerima padah apabila dihukum denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah menoreh empat tayar kereta milik seorang wanita kerana berang dihalau dari bilik sewa.

Tertuduh, Yuvarajana Muniandy, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Arun Noval Dass sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada seorang anak itu membayar pampasan RM300 kepada mangsa, atau dipenjara sebulan jika gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan kedua-dua bayaran berkenaan sebelum dihantar ke Penjara Kluang untuk menjalani hukuman penjara lima bulan bagi menggantikan denda dan sebulan lagi bagi kegagalan membayar pampasan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat dengan menoreh keempat-empat tayar kereta milik seorang wanita berusia 44 tahun sehingga menyebabkan kerugian RM308.

Kesalahan itu dilakukan di parkir sebuah pasar raya di Parit Raja dekat sini pada jam 9.57 pagi, 6 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa mendapati keempat-empat tayar keretanya bocor selepas keluar dari pasar raya kira-kira jam 11 pagi pada hari kejadian.

Mangsa kemudian meminta bantuan pekerja pasar raya untuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati seorang lelaki menoreh tayar kenderaannya.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan membawa kepada penahanan tertuduh di hadapan sebuah premis memproses kelapa.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas dihalau keluar dari bilik sewa milik mangsa kerana gagal menjelaskan bayaran sewa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img