PAS hari ini mengekalkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar kekal menjadi Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Kedua-dua perkara itu diumumkan oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang di Konvensyen RESET di Tanah Merah.

Dalam ucapan beliau, Abdul Hadi berkata, tindakan mengekalkan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mendapat sokongan penuh ahli-ahli Parlimen Pas dan ahli Parlimen-ahli Parlimen ‘RESET’.
Ahli-ahli Parlimen ‘RESET’ dipercayai mereka yang dipecat, digantung dan diberi amaran oleh Bersatu.
Sementara itu pada sidang media, mengulas hubungan dengan Bersatu Abdul Hadi menyatakan bahawa perkara itu terpulang kepada parti berkenaan sama ada mahu terus kekal atau mengambil keputusan sebaliknya.
“Tentang Bersatu, terpulang kepada mereka. Sama ada hendak keluar atau kekal, itu hak mereka,” tegasnya lagi.
Ketika diminta mengulas tindakan beberapa pihak dalam Bersatu yang dilihat menyerang Pas, beliau berkata tidak semua perkara perlu dijawab.
Ada yang perlu kita jawab dan ada yang tidak perlu kita jawab. Biar masyarakat yang menjawab,” hujahnya.
Pada majlis itu juga. beliau turut mendedahkan beberapa parti baharu dijangka diumumkan menyertai gabungan pembangkang dalam satu program di Negeri Sembilan pada malam ini.
Beliau turut mendedahkan beberapa pimpinan politik utama sebelum ini, bekas-bekas wakil rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), akan mengumumkan untuk menyertai Pas malam ini.






