POLIS Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pemendekan tempoh pelantikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), sebelum menentukan penugasan seterusnya beliau dalam pasukan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, memandangkan pelantikan Mohd Shuhaily dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, sebarang keputusan untuk memendekkan tempoh perkhidmatan itu perlu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda terlebih dahulu.
“Sekiranya tempoh pelantikan itu hendak dipendekkan, ia mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum beliau dikembalikan kepada PDRM.
“Sehingga perkenan itu diberikan, saya masih menunggu dan tidak dapat memastikan penugasan seterusnya, tetapi sudah pasti beliau akan kembali kepada PDRM kerana beliau adalah seorang pegawai polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang anjuran Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di sebuah hotel di ibu negara malam ini, lapor BH.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam mengesahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily kepada PDRM selepas menamatkan penempatan secara pinjaman beliau di AKPS.
Saifuddin berkata, keputusan itu dibuat minggu lalu, manakala penugasan seterusnya bekas Ketua Pengarah AKPS berkenaan akan ditentukan oleh PDRM.
Pada Rabu lalu, Mohd Khalid dilaporkan berkata, kedudukan Mohd Shuhaily sedang diteliti dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum keputusan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Perkara itu turut dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) bagi menentukan tindakan lanjut mengikut peraturan perkhidmatan.
Mengulas status tugas Mohd Shuhaily ketika ini, Mohd Khalid berkata, PDRM belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung tindakan susulan terhadap pegawai kanan polis berkenaan.
“Masih belum ada keputusan. Apabila beliau kembali kepada PDRM, barulah kita melihat tindakan selanjutnya yang boleh diambil berdasarkan peraturan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Kita ini kakitangan kerajaan, semuanya tertakluk kepada SPA dan juga SPP,” katanya.
Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027, selepas sebelum ini menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sejak Ogos 2023.
Pada 21 Oktober lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, berhubung kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.





