DATUK Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan ASEAN-Rusia di Kazan hari ini, sebagai sebahagian daripada program yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia.
Perdana Menteri akan menyertai forum yang berlangsung di Kazan IT Park dan akan disambut Menteri Pendigitalan Pentadbiran Awam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Republik Tatarstan, Ilya Nachvin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menyampaikan ucapan di hadapan wakil perniagaan serta pegawai dari negara anggota ASEAN dan Rusia.
Beliau kemudian akan menghadiri Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Tatar State Academic Theater, yang turut menjadi lokasi beliau menyertai kunjungan hormat ke atas Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Malaysia mengambil bahagian dalam sidang kemuncak peringatan itu, sebagai sebahagian daripada penglibatan ASEAN dengan Rusia.
Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia adalah platform pembabitan peringkat tertinggi antara ASEAN dan Rusia, mencerminkan hubungan kerjasama yang telah berkembang dengan ketara sejak terjalinnya hubungan dialog pada tahun 1991.
Rusia menjadi Rakan Dialog Penuh ASEAN pada tahun 1996 dan hubungan itu dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik pada tahun 2018, sekali gus menyerlahkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperluas kerjasama dalam bidang politik dan keselamatan, ekonomi serta sosio-budaya.
Sementara itu, sidang kemuncak tahun ini di Kazan, ibu negara Republik Tatarstan di Rusia, amat signifikan kerana bertepatan dengan ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN-Rusia.
Terletak di pertemuan Sungai Volga dan Sungai Kazanka di bahagian Eropah Rusia, kira-kira 800 kilometer di timur Moscow, bandar itu mempunyai populasi sekitar 1.3 juta penduduk dan sering dirujuk sebagai `ibu negara ketiga’ Rusia selepas Moscow dan Saint Petersburg.
Bandar ini mempunyai sejarah yang menjangkau lebih 1,000 tahun dan diiktiraf secara meluas sebagai antara pusat kebudayaan serta warisan Islam terpenting di negara itu.
Kazan juga berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan Rusia dengan dunia Islam, menjadikannya lokasi yang sesuai untuk perbincangan membabitkan ASEAN dan Rusia.
Pada tahun 2024, jumlah dagangan ASEAN-Rusia mencecah AS$18.1 bilion, manakala pelaburan langsung asing (FDI) Rusia di ASEAN direkodkan sebanyak RM367.90 juta (AS$92.97 juta).
Bagi Malaysia, Rusia adalah rakan dagang kesembilan terbesar negara dalam kalangan negara Eropah pada tahun 2025, dengan jumlah dagangan bernilai RM8.72 bilion (AS$2.04 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, serta produk makanan diproses. Sementara itu, import utama Malaysia dari Rusia meliputi produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan kimia.






