“Selalunya dia makan sikit, tapi malam itu dia makan banyak” – Ibu Koperal Norazmi

DI SEBALIK sifat tegas sebagai anggota tentera, Koperal Norazmi Abu Bakar yang terkorban dalam insiden letupan semasa latihan di Kem Hobart, Gurun semalam disifatkan keluarga sebagai insan penyayang dan tidak pernah meninggikan suara terhadap ibu bapanya.

Ibunya, Fatimah Ismail, 78, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu seorang yang taat dan menghormati keluarga selain sentiasa mengambil berat terhadap adik-beradiknya terutama adik bongsu.

Menurutnya, Allahyarham juga tidak pernah melawan atau membalas kata-kata apabila ditegur, sebaliknya memilih untuk berdiam diri dan mendengar nasihat yang diberikan.

“Kalau mak cik tegur atau marah, dia senyap sahaja… dia tidak pernah menjawab atau membalas semula. Arwah memang anak yang baik dan sangat sayang keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Merbok, hari ini.

Mengimbau pertemuan terakhir bersama anaknya itu, Fatimah berkata, Allahyarham pulang ke rumah kira-kira pukul 11.30 malam sehari sebelum kejadian selepas selesai urusan kerja di Gurun.

Katanya, walaupun memaklumkan sudah makan, Allahyarham tetap ke dapur untuk menjamah nasi dan gulai ikan yang dimasaknya serta makan lebih banyak daripada kebiasaan sebelum keluar sebentar ke kedai.

“Selalunya kalau dia balik rumah, dia makan sikit sahaja tetapi malam itu dia makan berselera. Saya tak nampak sebarang perubahan pada dirinya. Dia cuma kata balik untuk jenguk saya, ayah dan adik dia,” katanya.

Fatimah berkata, ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh, dia sempat mengejutkan Allahyarham untuk bersiap ke kem dan menyediakan kopi panas sebelum anaknya berangkat.

“Sebelum keluar dia salam dan cium saya. Saya sempat pesan supaya memandu berhati-hati. Entah kenapa pagi itu saya tengok dia sampai keretanya hilang dari pandangan… rasa berat sangat hati nak lepaskan dia pergi,” katanya.

Menurutnya, dia hanya dimaklumkan mengenai tragedi itu kira-kira pukul 12 tengah hari apabila dihubungi isteri Allahyarham.

“Isteri arwah telefon dan minta saya banyak bersabar sebelum beritahu dia sudah tiada. Memang terkejut kerana tidak sangka dia pergi dahulu sebelum saya, tetapi ini semua ketentuan Allah,” katanya.

Sementara itu, adik bongsu Allahyarham, Norazrul Fitri, 32, berkata abangnya seorang yang tegas tetapi mudah dibawa berbincang dan gemar bersembang bersama keluarga.

Bagaimanapun, katanya, Allahyarham dilihat lebih banyak berdiam diri ketika pulang ke rumah sehari sebelum kejadian dan tidak menyangka itu merupakan pertemuan terakhir mereka.

Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan Koperal Norazmi yang bertugas di Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) maut bersama seorang lagi anggota, Prebet Siti Khadijah Sungip dalam insiden letupan semasa Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun kira-kira pukul 10.57 pagi semalam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img