POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang lelaki dipercayai memukul dan mengugut seorang individu dengan menunjukkan objek menyerupai pistol di sebuah kedai makan di Desa Sri Puteri, Kuala Lumpur, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 9 Jun lalu kira-kira jam 11.05 pagi membabitkan seorang suspek tempatan berusia 31 tahun telah ditahan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak memukul pengadu sebelum mengugut mangsa dengan menunjukkan satu objek yang menyerupai pistol.
“Susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta tindakan lanjut terhadap suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.






