SEORANG lelaki warga asing diberkas polis selepas dipercayai mengugut mahu membunuh adik perempuannya menggunakan parang dalam kejadian di Ladang Suai 2, Jalan BLD, Ulu Suai, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian dilaporkan mangsa berusia 35 tahun pada jam 1.44 petang selepas menerima ancaman daripada abang kandungnya yang berusia 37 tahun.
“Susulan laporan diterima, polis menjalankan operasi mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian.
“Suspek berjaya diberkas dalam satu serbuan di sebuah pondok kebun berhampiran Ladang Sawit Wilmar Suai 1 hasil risikan dan maklumat yang diterima,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di lokasi tangkapan membawa kepada penemuan beberapa barangan berbahaya dipercayai milik suspek.
“Polis merampas sebilah parang serta selaras senapang patah buatan sendiri bersama enam butir peluru,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman empat hari sehingga 27 April ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa kebenaran,” katanya.


