2 pasangan suami isteri kes dera pembantu rumah direman semula

Empat suspek yang dikaitkan dengan video tular memukul pembantu rumah direman semula hari ini selepas polis menerima laporan daripada dua lagi wanita dipercayai mangsa penderaan.

Kesemua suspek tersebut dipercayai dua pasangan suami isteri berusia antara 30 hingga 34 tahun ditahan semula kira-kira jam 1.30 pagi susulan laporan baharu dibuat oleh dua wanita warga asing yang dipercayai pernah bekerja sebagai pembantu rumah kepada suspek.

Semalam, kedua-dua wanita berkenaan yang sebelum ini dikesan polis bersama mangsa dalam video tular tampil membuat laporan masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan IPD Johor Bahru Utara selepas dibawa oleh pihak Kedutaan Indonesia dari Kuala Lumpur.

Peguam pemerhati mewakili Kedutaan Indonesia, Mohd Daud Ismail berkata, beliau hadir ke Mahkamah Johor Bahru pagi ini bagi mengikuti prosiding permohonan reman terhadap semua suspek.

Menurutnya, Majistret Chai Ing Hien membenarkan permohonan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh IPD Johor Bahru Selatan.

“Tempoh reman diberikan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, dua pasangan suami isteri terbabit ditahan bagi membantu siasatan susulan penularan video memaparkan seorang wanita dipercayai pembantu rumah warga asing dipukul di sebuah kediaman keluarga di Taman Johor, Tampoi.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian dalam rakaman tersebut dipercayai berlaku tahun lalu namun video itu hanya mula tular di media sosial pada 13 Jun lalu.

Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan termasuk telefon bimbit, pakaian suspek, sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dan dua pasport milik wanita warga asing yang dipercayai pembantu rumah kepada salah satu pasangan berkenaan.

Siasatan lanjut turut membawa kepada pengesanan dua lagi wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa penderaan ketika bekerja dengan suspek pada tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru sebelum ini memaklumkan pihaknya telah memberi perlindungan dan bantuan kepada tiga wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa keganasan fizikal oleh majikan mereka.

KJRI memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 13 Jun lalu daripada seorang wanita dikenali sebagai YY yang mendakwa dirinya bersama dua lagi wanita, YA dan SH menjadi mangsa penderaan ketika bekerja sebagai pembantu rumah di Johor.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img