Allahyarham Jasmin teruja bakal terima menantu 23 Jun ini

“AYAH sempat memadamkan kebakaran yang berlaku pada kotak fius di ruang tamu sebelum menuju ke bilik tingkat bawah untuk solat sunat, berzikir, berselawat seperti kebiasaan.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya nampak ayah keluar ke ruang tamu sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri,” kata Muhammad Syarmeen Nur Hafiz, 27, anak ketiga kepada Ketua Polis Daerah Tawau, Allahyarham Asisten Komisioner Jasmin Hussin, lapor Harian Metro.

ALLAHYARHAM Asisten Komisioner Jasmin Hussin

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, keluarga mereka dikejutkan dengan kebakaran kecil pada kotak fius di ruang tamu tingkat satu kediaman mereka di Taman Crystal, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Kejadian itu disedari bapa saudaranya sebelum memaklumkannya kepada ahli keluarga lain, manakala arwah bapanya turut membantu memadamkan kebakaran berkenaan.

JENAZAH Allahyarham Asisten Komisioner Jasmin Hussin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Blok 31, Jalan Apas, Tawau petang tadi. GAMBAR: RTM Sabah

“Selepas keadaan kembali terkawal, ayah turun ke dapur untuk minum air sebelum menuju ke bilik solat di tingkat bawah sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Ayah dikejarkan ke Hospital Tawau dengan bantuan jiran sebelum ahli keluarga lain menyusul menggunakan kenderaan berasingan.

“Doktor yang bertugas kemudian memaklumkan ayah sudah tidak menunjukkan sebarang tanda hayat ketika tiba di hospital,” katanya.

Muhammad Syarmeen Nur Hafiz berkata, bapanya seorang yang amat mengutamakan keluarga dan sentiasa meluangkan masa bersama anak-anak.

“Saya memang rapat dengan ayah. Kami selalu keluar berdua dan banyak berkongsi cerita.

“Empat hari sebelum kejadian, saya perasan ada perubahan pada ayah apabila beliau kerap bercakap mengenai kematian dan menyatakan kebimbangan mengenai apa yang akan berlaku sekiranya beliau meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Sungai Gading, Tawau hari ini.

Beliau turut berkongsi bahawa bapanya kelihatan teruja sejak kebelakangan ini kerana Muhammad Syarmeen Nur Firdaus (anak sulung) dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 23 Jun ini di Pasir Mas, Kelantan sebelum majlis persandingan di Tawau pada Julai depan.

“Sejak minggu lalu, ayah begitu bersemangat membuat pelbagai persiapan termasuk menempah dewan, menguruskan katering dan mengedarkan kad jemputan.

“Semuanya sudah hampir siap dan kami hanya menunggu hari majlis berlangsung,” katanya.

Jenazah Jasmin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Blok 31, Jalan Apas, Tawau kira-kira jam 2.08 petang tadi.

Kira-kira 1,000 orang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham, yang meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 53 tahun dengan upacara pengebumian turut disertai istiadat penghormatan terakhir oleh pegawai dan anggota PDRM yang mengiringi jenazah hingga ke liang lahad.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandikan dan dikafankan di Unit Forensik Hospital Tawau sebelum dibawa ke Surau As-Salam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk disolatkan.

Jenazah kemudian dibawa ke kediaman ibu bapanya di Kampung Sungai Gading bagi memberi peluang kepada ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan menziarahi serta memberikan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Azmaroydah Che Azmi, serta enam anak iaitu Muhammad Syarmeen Nur Firdaus, 27; Muhammad Syahid Nur Hakim, 26; Muhammad Syarmeen Nur Hafiz, 21; Mellisa, 15; Anna Marcella, 10; dan Hadief Rizqien, 8.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img