AHLI Parlimen pembangkang hadir ke ibu pejabat Pas di ibu negara bagi menghadiri mesyuarat pra-persidangan Parlimen malam ini.
Antara yang hadir ialah Ketua Pembangkang yang juga pengasas Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Selain beliau, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin antara yang hadir pada Mesyuarat Ahli Parlimen Pembangkang yang berlangsung di ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut.
Ahli Parlimen lain yang hadir ialah Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Turut hadir, antaranya Khlir Mohd Nor (Ketereh), Datuk Ismail Muttalib (Maran) dan Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar)
Namun, beberapa Ahli Parlimen yang ditemui media enggan mengulas lanjut mengenai perkara dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mengesahkan mesyuarat yang bermula pada jam 8.30 malam itu hanya dihadiri mereka yang menerima jemputan khas.
Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada Ahli Parlimen Bersatu turut menghadiri mesyuarat berkenaan.
“(Mesyuarat) ini melibatkan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dipilih sahaja,” katanya.






