POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah mendeportasi (menghantar pulang) dua penjenayah buruan warganegara India yang dipercayai terbabit dalam kes meletupkan landasan kereta api di negara asal mereka.
Tindakan pengusiran berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman susulan permohonan bantuan daripada pihak berkuasa India bagi mengesan dan menangkap kedua-dua subjek berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kedua-dua penjenayah terbabit diburu selepas disyaki terbabit dalam insiden letupan landasan kereta api di Patiala, Punjab, India pada 27 April lalu.
“Kerjasama erat antara kedua-dua negara ini memperlihatkan kesungguhan pihak polis dalam menangani isu keselamatan global.
“Kolaborasi ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras jenayah rentas sempadan di samping memperkukuh sinergi keselamatan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa PDRM tidak akan bertolak ansur dan akan memastikan Malaysia bersih daripada menjadi transit atau sarang persembunyian buruan luar negara.
“Tindakan ini juga membuktikan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat perlindungan terhadap mana-mana individu yang cuba melarikan diri daripada proses keadilan jenayah,” tegas beliau.






