PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala termasuk usaha memperkukuh hubungan dalam sektor tenaga yang menjadi antara bidang strategik kepada kedua-dua negara.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, kedua-dua pemimpin turut menyentuh potensi memperluas kerjasama ekonomi selain menghargai komitmen Rusia dalam menawarkan kerjasama jangka panjang berkaitan bekalan tenaga dan minyak.
Kenyataan itu memaklumkan, perbincangan turut merangkumi peluang memperkukuh hubungan dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.
“Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa serta meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu ringgit dan ruble,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara menerusi kerjasama antarabangsa.
Langkah itu dilihat penting dalam memastikan kestabilan, kesinambungan serta daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kini berada di Kazan, ibu kota dan bandar terbesar Tatarstan, Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun.






