PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang dihoskan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, majlis itu bukan sahaja menampilkan persembahan kebudayaan Rusia yang kaya dengan sejarah dan warisan, malah turut mencerminkan kepelbagaian tradisi serta sumbangan tamadun Islam dalam membentuk identiti masyarakat negara berkenaan.
Dalam perkongsiannya, Anwar berkata, acara itu turut menjadi medan penting untuk memperkukuh hubungan persahabatan serta bertukar pandangan bersama pemimpin yang hadir.
“Dalam suasana dunia yang terus berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan, ruang interaksi sebegini amat bermakna dalam memperkukuh persefahaman, membina kepercayaan dan meneroka kerjasama yang mampu membawa manfaat kepada negara-negara ASEAN dan Rusia,” katanya.






