El Nino : Suhu Malaysia dijangka cecah 37.5 darjah Celcius bermula Julai

MALAYSIA berdepan risiko tahun paling panas dalam rekod apabila dijangka mengalami suhu sehingga 37.5 darjah Celsius susulan fenomena El Nino bermula Julai hingga separuh pertama tahun depan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, berkata data semasa menunjukkan negara mungkin mengalami pengurangan taburan hujan sehingga 40% sepanjang tempoh itu.

“Data sudah mula menunjukkan dari Julai tahun ini hingga separuh pertama tahun depan, kita mungkin mengalami sehingga 40% kurang taburan hujan daripada biasa.

“Kita juga menjangkakan kemungkinan mengalami tahun paling panas dalam rekod dengan suhu mencecah 37.5 darjah celsius,” katanya lapor FMT.

Isnin lalu, agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri mempetingkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi cuaca panas akibat El Nino berintensiti kuat yang dijangka berterusan hingga awal tahun depan.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memaklumkan, strategi dan tindakan kesiapsiagaan yang perlu dilaksanakan telah dibentangkan oleh agensi berkaitan pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil 1 Tahun 2026.

Menurut NRES, fenomena itu dijangka menyebabkan taburan hujan berkurangan dan cuaca menjadi lebih panas serta kering berbanding keadaan biasa, sekali gus memberi implikasi terhadap sektor pertanian, penyusutan paras air empangan, peningkatan risiko pembakaran terbuka dan jerebu yang menjejaskan kesihatan awam.

Arthur berkata, perubahan iklim kini bukan lagi perkara yang boleh dipertikaikan kerana bukti saintifik dan data global semakin jelas menunjukkan kesannya terhadap dunia.

Katanya, banyak negara termasuk Malaysia kini mengalami suhu lebih tinggi daripada biasa, cuaca tidak menentu dan hujan lebat yang semakin ekstrem.

“Asia Tenggara antara wilayah paling terkesan akibat perubahan iklim termasuk hakisan tanah dan hakisan pantai,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img