Nahas di KL-Karak: Kereta bertembung lori, dua pemandu cedera

DUA pemandu cedera selepas sebuah kereta dipandu warga emas dipercayai memasuki Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak melalui sebuah stesen minyak sebelum bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 54.7 lebuh raya berkenaan menghala ke Bentong, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, kereta dipandu lelaki tempatan berusia 74 tahun bertembung dengan lori yang membawa muatan alat gantian kenderaan dan dipandu lelaki tempatan berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 9.15 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori terbabit sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Bentong sebelum kemalangan berlaku.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan lurus, lori yang berada di lorong kanan dipercayai bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan yang memasuki Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak melalui sebuah stesen minyak berhampiran.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua pemandu mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Zaiham turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan keadaan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik sebelum memandu serta lebih berwaspada ketika memasuki jalan utama atau lebuh raya.

Menurutnya, sikap berhati-hati dan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya amat penting bagi mengelakkan kemalangan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img