Keputusan STPM 2025 catat PNGK nasional tertinggi sejak 2013

SEBANYAK  3.50 peratus daripada keseluruhan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 berjaya meraih PNGK 4.00, selari dengan peningkatan PNGK Nasional kepada 2.88, iaitu pencapaian tertinggi sejak sistem peperiksaan baharu STPM diperkenalkan pada 2013.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Md Amin Md Taff berkata, bilangan calon STPM 2025 yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 meningkat kepada 1,336 orang, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi akademik keseluruhan calon.

Beliau berkata, jumlah itu bertambah 70 calon berbanding 1,266 calon yang mencapai PNGK sempurna pada tahun 2024.

“Peningkatan bilangan calon yang memperoleh PNGK 4.00 menunjukkan semakin ramai pelajar berjaya mencapai tahap kecemerlangan akademik tertinggi dalam peperiksaan STPM.

“Trend ini turut disokong oleh peningkatan PNGK Nasional dan pertambahan bilangan calon yang memperoleh keputusan 5A serta 4A berbanding tahun lalu,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2025 di Kuala Lumpur, hari ini.

Prof. Md Amin turut memaklumkan hampir semua calon yang menduduki peperiksaan layak menerima Sijil STPM 2025.

‘’Daripada 38,144 calon yang hadir menduduki peperiksaan, sebanyak 99.96 peratus atau 38,128 calon layak dianugerahkan sijil berkenaan. Calon layak memperoleh Sijil STPM sekiranya mendapat sekurang-kurangnya lulus sebahagian dalam satu mata pelajaran,” katanya.

Bagi STPM 2025, seramai 40,199 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu, namun hanya 38,144 calon atau 94.89 peratus hadir.

Daripada jumlah tersebut, 35,774 calon atau 93.79 peratus terdiri daripada aliran Sains Sosial, manakala 2,370 calon atau 6.21 peratus daripada aliran Sains.

Sementara itu, semua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2025 mencatatkan kadar lulus penuh melebihi 70 peratus.

Dua mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Tamil, manakala Literature in English serta Bahasa Cina merekodkan penurunan melebihi tiga peratus.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img