Penganggur mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk

Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol dalam darah hampir tiga kali ganda melebihi had dibenarkan, April lalu.

Tertuduh, Khow Yong Boon, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kereta dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol dalam darah sebanyak 138 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, melebihi had ditetapkan iaitu 50mg/100ml.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Flora Utama, Batu Pahat, kira-kira jam 3.24 pagi pada 24 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan ketika Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menjalankan Op Mabuk di sekitar bandar ini bagi mengesan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol serta memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.

Hasil saringan ujian pernafasan mendapati tertuduh positif alkohol sebelum dibawa ke Balai Polis Batu Pahat untuk tindakan lanjut. Kenderaan yang dipandu turut disita bagi tujuan siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Suhaila Shafi’uddin.

Mahkamah kemudian menetapkan esok untuk sebutan fakta kes dan jatuh hukum serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 yang telah dijelaskan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img