SEORANG anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat hampir 20 gram ketika berada di lokap Kompleks Mahkamah Kota Bharu, minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Fadhirul Musa, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 19.8 gram di lokap Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira jam 8.29 pagi pada 8 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sehingga sembilan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nadzir Abdullah yang mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela Mohd Azrizal Hamzi yang mewakili tertuduh bersama Muhammad Husni Mubarak Ghazali memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menyara isteri serta empat anak yang masih bersekolah.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.






