SEORANG anggota polis membuat laporan selepas dipercayai menerima komen berunsur ancaman terhadap keselamatannya susulan insiden tular di Jalan Tunku Putra, Alor Setar.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, laporan itu dibuat oleh anggota terbabit pada 22 April lalu.
Menurutnya, ancaman berkenaan dikesan menerusi komen di media sosial yang turut memaparkan gambar peribadi anggota berkenaan.
“Satu laporan polis diterima berkait dengan komen yang mengancam keselamatan beserta gambar peribadi anggota tersebut di media sosial.
“Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut memohon bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang terlibat.
Terdahulu, insiden itu tular pada 20 April lalu menerusi video berdurasi 29 saat yang memaparkan tindakan polis menahan seorang lelaki tempatan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Dalam kejadian itu, suspek berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pekerja am cuba melarikan diri sebelum dikejar sejauh kira-kira lima kilometer dan ditahan di Jalan Tunku Putra.
“Hasil pemeriksaan menemui dua bungkusan cecair disyaki air ketum,” katanya.
Suspek kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Kulim pada 23 April di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes.
Dalam pada itu, Adzli menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta ketenteraman awam.
“Polis memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus, profesional dan adil termasuk jika melibatkan anggota sendiri,” katanya.


