Pas sifatkan pelan damai selamatkan Israel, penipuan terbuka Trump- Netanyahu

PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan pelan damai yang dicetuskan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald  Trump merupakan jaminan keselamatan a atau menyelamatkan Israel daripada kekalahan, dengan cara Hamas menyerah kalah secara percuma.

Katanya, dunia digoda oleh pelan damai Trump bagi gencatan senjata di Gaza yang antara tawarannya ialah memberikan laluan bantuan kemanusiaan serta perdamaian yang kekal di Gaza.

‘’Pelan damai itu juga menyatakan syarat-syarat yang memberikan jaminan keamanan kepada Israel. Terpentingnya ialah melucutkan senjata Hamas serta memulangkan tawanan Israel dan mayat yang mati dengan tukaran membebaskan tahanan Palestin.

‘’Mereka juga mencadangkan tentera pengaman dari negara-negara Arab yang terpilih dan melantik Tony Blair, mantan Perdana Menteri United Kingdom selaku pengarah pentadbiran Gaza; meniru pendekatan ketika Amerika Syarikat menakluk Iraq dahulu,’’ katanya dalam ruangan Minda Presiden.

 Abdul Hadi berkata, Israel menerima dengan mudah setelah perundingan antara Trump dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

‘’Tidak diketahui sama ada ia cadangan Netanyahu ataupun Trump. Cadangan dilakukan setelah Israel gagal mencapai matlamat operasi menawan Gaza dan ketenteraannya tidak berjaya menghapuskan Hamas.

‘’Terpentingnya, Hamas terlebih dahulu perlu melucutkan senjata mereka serta membebaskan tawanan Israel yang masih hidup bersama memulangkan mayat puak Yahudi yang terbunuh. Tidak ada syarat Israel perlu meletakkan senjata, walaupun tenteranya diminta berundur dari Gaza,’’ tegas.

Beliau berkata,  dalam kerajaan campuran Israel, beberapa orang menteri kabinet membuat kenyataan bahawa tidak ada gencatan senjata selagi Hamas tidak dihapuskan.

‘’Seterusnya, Gaza dicadangkan agar ditadbir oleh sekutu Amerika Syarikat dengan pelantikan mantan Perdana Menteri United Kingdom menjadi ketua pentadbirannya, dengan Palestin dan wakil negara Arab dibolehkan sekadar menjadi petugas bawah arahannya,’’ katanya.

Abdul Hadi berkata, Hamas pula perlu dikeluarkan dari Gaza, walaupun mereka telah memenangi Pilihan Raya Perundangan Palestin 2006, menunjukkan negara yang sah kepada rakyat Palestin mengikut ayat suci demokrasi Barat, “Suara rakyat, suara Tuhan (vox populi vox dei).”

‘’Akan tetapi, hukumnya dinasakhkan (dibatalkan) kerana Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) disokong oleh Barat serta negara Arab dan Islam yang ada di bawah ketiaknya yang hangit dan busuk itu.

‘’Kemenangan Hamas dalam operasi Taufan al-Aqsa sejak 7 Oktober 2023 menggegarkan pihak Israel dan sekutunya, sehingga bala tentera Ahzab ditubuhkan semula oleh Amerika Syarikat bersama negara sekutu Zionis, walaupun sudah bertapak pangkalan tentera yang berselerak di negara-negara Arab dan Islam yang terdekat bersama pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang besar untuk menghadapi Perang Dunia bila-bila masa.

‘’Maka, cadangan perdamaian Trump dan Israel ialah penipuan yang terbuka, laksana burung unta yang menyembunyikan kepala di dalam tanah, sedangkan badannya yang besar terbuka dengan nyata atau laksana menutup bangkai dengan tapak tangan,’’ katanya.

Beliau berkata, langkah yang sama turut pernah dilakukan pada tahun 1948 apabila melihat kemaraan para mujahidin kumpulan Islam terhadap tentera Israel yang gagal menawan Bait al-Maqdis.

Begitu juga kata beliau, ketika Israel dikalahkan oleh tentera Mesir dalam Perang Ramadan 1973 (Perang Yom Kippur), mereka menggunakan gencatan senjata yang diikuti oleh beberapa perjanjian damai seperti Perjanjian Madrid 1991 dan Perjanjian Oslo 1993 serta penyelesaian dua negara (two-state solution), dengan sempadan menyelamatkan kawasan yang pernah ditawan Israel pada Perang Enam Hari 1967 bersama Bait al-Maqdis.

“Negara Islam dan Arab diminta melakukan normalisasi dengan mengiktiraf negara Israel, dalam keadaan tidak menghalang kemasukan pendatang Yahudi yang berduyun-duyun mendapat perlindungan tentera dan polis Israel ke kawasan rakyat Palestin yang dirampas rumah-rumahnya, termasuk dimusnahkan kedai, pasar raya, dan kebun zaitun sejak ratusan tahun.

”Pada masa yang sama, Bait al-Maqdis diisytiharkan sebagai ibu negara Israel dan diterima oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara sekutunya,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img