Johor perkenal sistem baharu agihan minyak masak, 95 POS diperluas

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan sistem baharu pengagihan minyak masak bersubsidi di Johor menerusi pelaksanaan 95 Point of Sales (POS) bagi memastikan bekalan lebih tersusun, mudah diperoleh dan sampai kepada golongan sasar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai langkah memperkukuh sistem pengedaran serta menangani isu ketirisan dan kekurangan bekalan di beberapa lokasi.

“Menerusi mekanisme baharu ini, minyak masak peket dibekalkan terus oleh syarikat pembungkus semula (repacker) kepada POS tanpa melalui pemborong.

“Kaedah ini bertujuan memastikan bekalan dapat diagihkan dengan lebih cekap dan mencukupi mengikut keperluan pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan juga terus memperluas pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) sebagai sebahagian usaha membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Katanya, kekerapan pelaksanaan Jualan RAHMAH di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditingkatkan kepada lima kali sebulan berbanding tiga kali sebelum ini bagi memastikan lebih ramai pengguna mendapat manfaat.

Beliau menegaskan kerajaan komited memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi, mudah diperoleh serta ditawarkan pada harga berpatutan demi menjaga kesejahteraan pengguna dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai tarikh dan lokasi pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI melalui portal rasmi PJRM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img