MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan sepina yang mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir sebagai saksi dalam saman sivil RM30 juta yang difailkan oleh 12 individu terhadap seorang ahli perniagaan, Vinod Sekhar dan isterinya, Winny Yeap Liew Heoh.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Ahli Parlimen Tambun berusia 78 tahun itu untuk mengetepikan sepina bertarikh 15 Januari lalu.
Muhammad Adam berkata, 12 individu berkenaan selaku plaintif gagal membuktikan bahawa Anwar merupakan saksi yang relevan untuk dipanggil memberikan keterangan dalam perbicaraan tersebut.
“Tiada manfaat yang dapat diperoleh dengan memaksa beliau hadir ke mahkamah. Sebaliknya, tindakan itu bersifat menindas dan akan mengalihkan fokus perbicaraan daripada isu undang-undang sebenar.
“Plaintif turut bergantung pada gambar, hantaran media sosial dan acara awam yang melibatkan Anwar serta Vinod,” katanya, lapor Sinar Harian.
Muhammad Adam berkata, bahan tersebut hanya menunjukkan mereka saling mengenali atau mempunyai hubungan dan bukannya membuktikan bahawa Anwar mempunyai pengetahuan peribadi mengenai transaksi yang dinyatakan dalam tuntutan.
Tambah beliau, sepina tidak boleh dikeluarkan sesuka hati tanpa kawalan mahkamah.
Katanya, plaintif mendakwa nama Anwar digunakan untuk melakukan penipuan, namun saksi mereka sendiri mengakui tiada bukti yang menunjukkan nama Presiden PKR itu digunakan untuk mendapatkan pelaburan atau wang daripada mana-mana pihak.
“Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Anwar) untuk mengetepikan sepina tersebut,” katanya sambil memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Anwar.
Dalam prosiding berkenaan, peguam Sanjay Mohan hadir mewakili Anwar, manakala plaintif diwakili peguam Colin Andrew Pereira.
Pada 2023, Vinod dan isterinya disaman oleh 12 individu atas dakwaan salah nyata, penipuan dan pelanggaran kontrak.
Seramai 10 daripada 12 plaintif tersebut merupakan pelaburnya, iaitu Graham David Bell, Arthur J. Mirante II, Ronald Barrie Clapham, Charles Robert Henry Stone, Paul Sallis Benney, Paul Nicholas Smith, Octavio Augusto Vallarino Arias, Simon Hafeitz Homsany, Talbortt Gerard Young dan Uri Fruchtmann.
Dua lagi plaintif ialah Andrew Murray-Watson dan April Srivikorn yang merupakan bekas pekerja Vinod.
Kumpulan plaintif itu mendakwa bahawa Vinod telah memujuk mereka untuk melaburkan wang sama ada dengannya atau melalui pelbagai syarikat miliknya tanpa mendedahkan status kebankrapan yang didakwa ketika itu.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif berkata mereka telah menyoal Vinod mengenai isu kebankrapan tersebut melalui e-mel pada 30 September 2020.
Vinod didakwa mengambil ringan perkara itu dan seolah-olah mencadangkan bahawa seorang individu bernama `Anwar’ akan menguruskan perkara tersebut, sekali gus menyebabkan mereka percaya bahawa lelaki berkenaan merujuk kepada Perdana Menteri.






