AI tidak mampu ganti peranan wartawan pengumpul sumber primer – Fahmi

TUGAS wartawan sebagai pengumpul sumber primer dan saksi kepada sesuatu peristiwa tidak boleh digantikan dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau mendedahkan pernah menolak permohonan sebuah entiti yang mahu menggunakan Dana Inovasi Media bagi membangunkan aplikasi AI yang mampu menghasilkan berita secara automatik tanpa pembabitan wartawan sekali gus berpotensi mengetepikan profesion itu.

“Sewaktu kita mengumumkan Dana Inovasi Media ada sebuah entiti datang bertemu saya mohon untuk penggunaan dana tersebut untuk membina aplikasi AI yang akan mengetepikan tugas wartawan.

“Menurut mereka, kalau kementerian ataupun mana-mana pihak menerbitkan kenyataan, aplikasi AI itu akan mengolah dan terus menghasilkan berita.

“Tuan-tuan dan puan-puan nak tahu apa jawapan saya, saya minta mereka keluar, tidaklah saya bercakap kasar, tetapi saya kata saya tak nak layan dan tak boleh sokong aplikasi sebegitu,” katanya ketika berucap pada Pemukiman Media Malaysia 2.0 anjuran Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Butterworth hari ini.

Beliau mengakui walaupun teknologi AI semakin berkembang dan mampu membantu proses penghasilan kandungan, peranan wartawan kekal penting kerana golongan itu mempunyai disiplin, pengalaman serta keupayaan menilai dan mengolah maklumat sebelum menghasilkan berita.

Beliau menegaskan, tanpa wartawan, tiada berita mampu dihasilkan dengan baik dan berkualiti kerana profesion itu memerlukan pertimbangan manusia, pengesahan fakta serta kefahaman terhadap konteks sesuatu isu.

“Bagi saya, wartawan itu sangat penting, tidak boleh diganti wartawan dengan AI.

“Sebab fungsi wartawan adalah menjadi saksi, mengumpul maklumat, sumber primer berdasarkan disiplin, pengalaman, keupayaan, mengolah dan menjadikan berita.

“Tanpa wartawan, bagi saya dan bagi pihak Kementerian, tanpa wartawan, tidak ada berita. Jadi itulah komitmen saya dan Kementerian Komunikasi untuk menjamin dan mengekalkan pekerjaan wartawan,” tegasnya.

Fahmi dalam perkembangan berkaitan berkata, Kementerian mengambil perhatian terhadap cabaran yang dihadapi organisasi media termasuk isu pengurangan jumlah pekerja akibat tekanan ekonomi dan perubahan landskap industri.

Beliau turut memohon ahli komponen Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) yang berdepan kesukaran supaya memaklumkan keadaan berkenaan kepada Kementerian agar bantuan bersesuaian dapat dipertimbangkan.

“Sewaktu kita umum Dana Inovasi Media, saya telah maklumkan harapan syarikat media mengambil satu sikap untuk mengelak melakukan right-sizing, skim pemisahan dan sebagainya (tetapi) malangnya ada beberapa yang telah melakukan sedikit pengurangan jumlah pekerja.

“Tapi saya pohon, ahli-ahli komponen dalam GKMN, tolong sampaikan sekiranya ada mana-mana syarikat menghadapi isu atau masalah sehingga mereka terpaksa memikirkan perkara ini, segera maklumkan kepada saya supaya kita boleh lihat apa yang boleh dilakukan,” katanya.

Terdahulu Fahmi mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada GKMM dan RM10,000 kepada setiap kelab media negeri yang bernaung di bawah GKMM sebagai ushaa menyokong pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada anggota pertubuhan media.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img