Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sebuah pangsapuri di Taman Tampoi Utama semalam ditemukan meninggal dunia di kawasan belukar berhampiran Jalan Sutera, Taman Perling dekat Johor Bahru, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Amimuzamam Aini berkata, mangsa berusia 37 tahun ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan selepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.28 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sebelum dimaklumkan polis bahawa mangsa dipercayai hilang di kawasan belukar berhampiran Jalan Sutera.
“Anggota membuat pemantauan awal bagi menilai keadaan serta risiko di lokasi, namun operasi pencarian tidak dapat dilaksanakan serta-merta kerana keadaan gelap dan tidak selamat.
“Operasi SAR kemudian dimulakan semula selepas keadaan cerah dengan dua pasukan pencarian dibentuk membabitkan enam anggota bomba dan empat anggota polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pencarian dijalankan bermula dari lokasi kenderaan mangsa ditinggalkan sehingga ke kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera dan kawasan sekitarnya.
Menurutnya, mangsa ditemukan berhampiran sebatang pokok kira-kira 30 meter dari lokasi kenderaannya sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudian dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Difahamkan, kehilangan mangsa disedari keluarga sekitar jam 6 petang semalam sebelum laporan polis dibuat kerana bimbang terhadap keselamatannya.
Tambah beliau, ibu mangsa turut menemui kesan darah di bilik mandi dan bilik mangsa sebelum menyedari lelaki itu tiada di rumah.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.08 pagi.






