DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perjanjian komersial serta usaha damai terbaharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sebagai berita gembira yang mampu memberi kelegaan besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, ketegangan di rantau berkenaan sebelum ini hampir menjejaskan sektor industri dan ekonomi negara ekoran risiko penutupan laluan selat utama yang menjejaskan rantaian bekalan global serta menyebabkan peningkatan kos pengangkutan maritim secara mendadak.
Beliau berpandangan, sebarang bentuk persefahaman atau perjanjian komersial yang dapat mengurangkan konflik di rantau Asia Barat adalah berita baik kepada seluruh dunia termasuk negara-negara ekonomi kecil seperti Malaysia yang bergantung kepada kestabilan perdagangan antarabangsa.
“Sebab itu saya amat gembira apabila mendapat tahu adanya penyelesaian atau perjanjian komersial antara AS dan Iran…ini adalah berita baik untuk kita semua kerana penutupan selat-selat tersebut hampir menjejaskan industri kita, ekonomi kita dan harga melambung tinggi akan menyebabkan kesusahan kepada rakyat kita.
“Saya telah mengeluarkan kenyataan dan menyampaikannya kepada Presiden AS dan Presiden Iran, sebagai sebuah ekonomi kecil yang sedang berkembang kita mengalu-alukan perkembangan ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan kilang MKS Instruments Inc (MKS) di Batu Kawan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Iran pada Khamis lalu mengesahkan bahawa kedua-dua negara itu telah menandatangani perjanjian dengan Washington untuk menamatkan perang di Asia Barat yang terlebih dahulu diumumkan Presiden AS, Donald Trump.
Terdahulu, Memorandum Persefahaman (MoU) antara AS dan Iran yang ditandatangani pada Rabu lalu mengandungi 14 perkara utama yang menjadi asas kepada usaha menamatkan konflik antara kedua-dua negara selepas hampir empat bulan peperangan.
Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap keamanan yang dicapai dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang serta diperluaskan ke seluruh rantau Asia Barat demi kepentingan rakyat jelata.
“Orang ramai tidak menyedari bahawa pergolakan di tempat yang begitu jauh menjejaskan mata pencarian orang biasa dan golongan paling terkesan ialah golongan miskin serta yang terpinggir.
“Ini jelas sekali sama sekali tidak boleh diterima dan amat kejam kerana mendatangkan begitu banyak kesusahan kepada rakyat,” katanya.






