PM gesa kementerian ambil langkah penjimatan, krisis Asia Barat beri kesan terhadap ekonomi negara

DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Belanjawan 2027 bakal menampilkan lebih banyak langkah penjimatan susulan kerencaman suasana pasaran semasa.

Perdana Menteri berkata, kemungkinan itu turut mengambil kira kesan rantaian serangan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel ke atas Iran yang turut memberi dampak kepada ekonomi negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan antara lain menasihatkan semua kementerian untuk mula memperincikan langkah penjimatan, selain perlu mengetepikan budaya kerja secara silo serta lebih memahami keperluan ekonomi semasa.

“Serangan ini (ke atas Iran) menyebabkan masalah ekonomi (dan) kita juga terjejas. Jadi jangan ambil sikap sambil lewa atau remeh.

“Bila saya mahu buat keputusan, umpamanya baru-baru ini, memang kita minta kementerian, termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Rayulah bagaimanapun mesti ada pengurangan belanjawan kerana mustahil tidak boleh berlaku penjimatan dalam (keseluruhan peruntukan bernilai) RM20 bilion. Banyak bidang boleh dijimatkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, pengurusan tertinggi setiap kementerian wajar menerapkan kebijaksanaan dan pemahaman mengenai elemen ekonomi dalam menjayakan langkah penjimatan itu.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan langkah penjimatan itu tidak akan menjejaskan aspek pengembangan buku, mutu dan kemudahan asas pendidikan negara.

“Sekarang semua harus waras dan bijak (untuk) tahu masalah, perbaiki, ambil kesempatan dalam lompongan kelemahan. Dalam fikah pun disebut fiqh aulawiyat, iaitu ada keutamaannya.

“Perbaiki (dan) kurangkan kos yang perlu, selain pada masa sama menetapkan keutamaan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img