AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, Kerajaan MADANI mentadbir negara berpandu kepada undang-undang bertulis dan Perlembagaan Persekutuan dalam urusan pemberian kewangan kepada negeri-negeri, termasuklah Johor.
Katanya, di bawah Perkara 109 (1) Perlembagaan Persekutuan, dinyatakan bahawa pada setiap tahun kewangan hendaklah Kerajaan Persekutuan memberi kepada setiap negeri suatu pemberian yang dikenali sebagai pemberian ikut kepala, berdasarkan peruntukan Bahagian I Jadual Kesepuluh.
‘’Manakala di bawah Perkara 110(1) dinyatakan bahawa setiap negeri hendaklah menerima segala hasil daripada cukai, fi dan sumber hasil lain seperti dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Kesepuluh.
‘’Sekiranya mana-mana pihak Kerajaan Negeri tidak berpuas hati, maka Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan undang-undang di mana masalah tersebut dirujuk kepada Majlis Kewangan Negara yang menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 108(4) untuk berunding dengan Majlis Kewangan Negara berkenaan pemberian yang dibuat oleh Persekutuan kepada Negeri-Negeri,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu beliau berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, mana-mana Kerajaan Negeri Johor yang dibentuk selepas Pilihanraya Negeri Johor pada 11 Julai ini, boleh membawa isu pemberian Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu yang dipertikaikan ( jika ada) kepada Majlis Kewangan Negara.
Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dikembalikan bagi memenuhi keperluan hampir lima juta rakyat negeri itu.
Justeru titah baginda, sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus hasil yang dikutip dari Johor wajar dikembalikan kepada negeri tersebut bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan.






