Mesyuarat PN esok: Penyertaan Wawasan, ketegasan Samsuri jadi tumpuan

ESOK Perikatan Nasional (PN) dijadualkan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan keanggotaan parti dalam gabungan tersebut.

Mesyuarat dijadualkan diadakan di Pejabat Pas Kuala Lumpur, di lokasi yang sama ahli-ahli pembangkang mengadakan pertemuan baru-baru ini bagi mengekalkan Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang dengan 43 ahli Parlimen Pas dan 19 ahli Parlimen pembangkang menyokong.

Kalau ikut notis mesyuarat yang diedarkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mereka yang akan terlibat dalam mesyuarat berkenaan ialah Pengerusi PN, Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan-timbalan Pengerusi PN iaitu Datuk Seri Tun Ibrahim Tuan Man (Pas), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu) Datuk Dr. Dominic Lau (Gerakan) dan Punithan Paramsiven (MIPP).

Mesyuarat itu dilihat penting kerana dianggap usaha terkini untuk meredakan ‘huru-hara’ yang berlaku dalam gabungan tersebut apabila Pas membuat keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.

Pada masa sama agenda paling penting ialah menentukan keanggotaan Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang diterajui Hamzah.

Dari segi logiknya agak janggal apabila Bersatu yang tidak lagi mempunyai hubungan politik dengan Pas akan datang ke mesyuarat yang bukan sahaja akan dihadiri oleh Pas tetapi akan dipengerusikan oleh Ahmad Samsuri daripada Pas.

Walaupun kadang kala dalam politik, logik pun boleh ‘ke laut’ namun apa yang berlaku ada hikmahnya. Ia bermakna PN juga boleh menerima kemasukan Wawasan sebagai anggota gabungan itu tanpa perlu mengambil kira bantahan keras daripada Bersatu.

Kalau mahu berpegang kepada konsensus sampai bilapun Bersatu tidak akan bersetuju untuk menerima Wawasan. Oleh itu kepimpinan PN khususnya Ahmad Samsuri perlu tegas dalam soal ini. Adalah tidak adil kalau penolakan ke atas Wawasan dilakukan oleh PN hanya disebabkan sentimen perbalahan dalam Bersatu sebelum ini.

Mesyuarat itu adalah penting sama ada PN akan kembali aman atau akan menerima nasib seperti Bersatu yang kini berantakan. Malang sekali, ketika parti-parti lain sedang bersiap sedia menghadapi PRN di Johor dan Negeri Sembilan serta mungkin juga PRU tidak lama lagi, PN masih lagi dilihat kucar-kacir.

Justeru PN perlu tegas membuat keputusan berkaitan penyertaan Wawasan. Kalaulah 62 ahli Parlimen PN sudah memberi sokongan kepada Hamzah untuk menjadi Ketua Pembangkang tak kanlah  parti Hamzah ditolak menjadi anggota gabungan itu.

Kesimpulannya mesyuarat PN esok penting bagi memulihkan imej dan memperkukuhkan kembali gabungan itu. Jika ada dalam kalangan anggota PN yang cuba ‘tunjuk keras kepala’ dan hanya mahu ikut kemahuan agenda politik sendiri, lebih baik keluar sahaja daripada PN.

Bertandinglah atas nama parti sendiri tanpa perlu ‘bertekek atas’ lambang PN, kita lihat bagaimana sokongan rakyat. Kalau itu tidak berani dilakukan tidak payahlah mahu membawa ‘wabak berantakan’ ke dalam PN.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img