DUA sepupu remaja yang dilaporkan hilang sejak malam Khamis ditemui selamat di Machang petang semalam, kira-kira 32 jam selepas keluarga mereka membuat dua laporan polis berasingan pada pagi Jumaat.
Remaja yang masing-masing berusia 15 dan 16 tahun ditemui di sebuah inap desa di Machang, kira-kira 25 kilometer dari kediaman mereka di Kampung Baloh dekat Kok Lanas.
Susulan penemuan mereka, dipercayai polis menahan beberapa suspek bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kedua-dua remaja berkenaan.
ibu saudara mereka yang berusia 43 tahun berkata, kedua-dua remaja itu kini berada di bawah pemerhatian di Hospital Kuala Krai.
“Keluarga berasa lega kerana mereka akhirnya ditemui dan bersyukur kerana Allah SWT telah memakbulkan doa kami.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas usaha mengesan mereka, selain saudara-mara dan orang ramai yang sentiasa mendoakan serta memberi sokongan sepanjang tempoh yang sukar ini. Kedua-duanya berada dalam keadaan sihat, namun masih sedikit trauma dengan apa yang berlaku.
“Keluarga memerlukan sedikit masa untuk bersama mereka, jadi kami berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada kami,” katanya lapor NST.
Semalam dua sepupu itu dilaporkan hilang selepas keluar untuk bersiar-siar di Kota Bharu pada petang Khamis.






