SEORANG pempengaruh media sosial yang sering memuat naik kandungan berunsur paranormal yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas, ditemukan dalam keadaan lemah dalam tandas awam berdekatan kawasan Skytrex Adventure Melaka di Taman Botanikal, Ayer Keroh hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditemukan orang awam kira-kira 3.03 petang tadi.
“Pihak bomba sebelum itu menerima panggilan telefon berkaitan kes orang hilang pada 12.18 tengah hari tadi dan menggerakkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi kejadian kurang satu minit kemudian.
“Anggota bomba terlibat telah melakukan pencarian di kawasan sebuah resort selain sekitar Taman Botanikal dengan operasi turut disertai anggota polis serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supt Halim Abas dalam kenyataan berkata mangsa dilaporkan membuat siaran langsung paranormal di sebuah resort pada 8.30 malam, Jumaat lepas sebelum siaran berkenaan terputus secara tiba-tiba pada 9 malam hari sama.
Beliau berkata rakan mangsa cuba menghubungi lelaki itu dan menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp, namun tiada sebarang jawapan diterima sebelum laporan kehilangannya dibuat.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Hafidzatullah turut menggesa sukarelawan atau orang awam yang berdepan dengan sebarang kes kecemasan termasuk orang hilang untuk segera memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa dan JBPM melalui talian NG999.
Beliau berkata JBPM adalah peneraju dalam aspek penyelamatan dalam negara dan ia termaktub dalam arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Tindakan melulu orang awam melaksanakan operasi secara sendirian boleh mengakibatkan implikasi terhadap undang-undang serta keselamatan yang boleh dikategorikan sebagai ‘krisis dalam krisis’.
“Banyak implikasi buruk mungkin berlaku sekiranya lewat membuat notifikasi kepada JBPM, antaranya radius pencarian menjadi lebih besar, tohmahan kepada agensi kerajaan dan pembaziran sumber kerajaan yang boleh dijimatkan jika diberitahu lebih awal,” katanya.






