KEGIATAN memproses dan menjual air ketum yang dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah rumah di Jalan Pondok Lama, Tanah Merah, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, empat lelaki berusia antara 25 hingga 37 tahun ditahan, manakala tiga daripada mereka didapati positif methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota Risik Batalion 8 PGA hasil maklumat risikan berhubung aktiviti pemprosesan air ketum di premis berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati empat lelaki berada di hadapan rumah dalam keadaan mencurigakan sebelum seorang daripada mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah motosikal Yamaha NVX yang berada di hadapan rumah menemukan lima bungkusan berisi cecair kehijauan disyaki air ketum.
“Siasatan kemudian membawa pasukan ke sebuah bilik dalam rumah yang dikunci sebelum menemukan sejumlah bungkusan berisi daun ketum selain empat biji pil yaba di ruang tamu,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan diteruskan di bahagian dapur dan menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses air ketum termasuk periuk bersaiz besar, tong gas, alat penimbang dan dapur memasak.
Katanya, suspek utama turut menunjukkan sebuah tong plastik yang disembunyikan di kawasan semak di hadapan rumah yang mengandungi 53 lagi bungkusan air ketum.
“Keseluruhan rampasan melibatkan 58 liter air ketum, 25 kilogram daun ketum, empat biji pil yaba, sebuah motosikal serta pelbagai peralatan memproses air ketum dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM17,930,” katanya.
Menurut Ahmad Radzi, siasatan awal mendapati suspek utama mengaku menjalankan kegiatan memproses air ketum di rumah tersebut sejak tiga tahun lalu bagi pasaran sekitar bandar Tanah Merah.
Tambah beliau, bekalan daun ketum dipercayai diperoleh dua kali seminggu daripada seorang lelaki tempatan yang kini sedang dikesan bagi membantu siasatan.
“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama,” ujarnya.






