
PADA 16 Februari lalu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah dipecat daripada Bersatu, sekaligus kehilangan jawatan Timbalan Presiden yang disandang dan dalam masa sama kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang menjadi persoalan.
Dari semasa ke semasa pemimpin Bersatu mendesak supaya Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan berhubung kedudukan Ketua Pembangkang sehingga ada yang antara mereka membangkitkan isu kononnya terdapat individu yang tidak layak cuba “berlegar-legar” menggunakan jawatan Ketua Pembangkang.
Akhirnya pada 16 Mei 2026, Pas bersetuju Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang. Maka bergembiralah segelintir pemimpin Bersatu dengan keputusan itu.
Tetapi ‘kegembiraan’ itu tidak lama apabila Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu dan lima hari selepas itu ketika himpunan RESET di Tanah Merah, Hamzah mengumumkan akan menyertai parti baharu iaitu Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan pada sidang media di himpunan itu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti tersebut bersetuju Hamzah kekal Ketua Pembangkang.
Ia tamparan hebat kepada pemimpin Bersatu apatah lagi Hamzah disahkan menerima sokongan daripada 43 Ahli Parlimen Pas dan 19 ahli Parlimen pembangkang. Maknanya Ahli Parlimen Bersatu yang digantung keahlian mereka turut menyokong Hamzah.
Mereka memberi sokongan tanpa rasa takut kerana tahu kepimpinan Bersatu tidak akan berani memecat mereka seperti mana dialami Hamzah dan beberapa Ahli Parlimen Bersatu lain. Ia membuktikan secara tersiratnya, Muhyiddin tidak mempunyai sokongan dalam kalangan ahli Parlimen partinya sendiri.
Hari ini kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dengan menjelaskan keputusan tersebut dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 4(A)(3) selepas mempertimbangkan beberapa perkembangan dan maklumat baharu sejak mesyuarat yang lalu.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Hamzah atas pelantikan semula tersebut.
“Kini, Yang Berhormat Larut, mulai 18 Jun 2026, telah kembali menjadi ketua pembangkang. Tahniah, Larut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Walaupun apa yang berlaku bukanlah satu pertarungan namun ramai pemerhati politik melihat pengekalan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘satu kemenangan moral’ kepada beliau selepas disingkirkan oleh Bersatu.
Bagi Bersatu pula, terlalu banyak percaturan politik yang disulami dengan sindrom takut bayang-bayang menyebabkan parti itu kini berada dalam terumbang-ambing dan berantakan. Tidak mustahil jika keadaan itu tidak dikawal Bersatu akan mengulangi sejarah Parti Melayu Semangat 46 ‘berkubur tanpa nisan’, tempat diganti oleh Wawasan.






