Kesemua 23 aktivis Global Sumud Flotilla selamat tiba di Istanbul, Türkiye kini akan diberikan pemeriksaan kesihatan, sokongan dan bantuan menyeluruh termasuk aspek psikologi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tentera kerajaan di bawah kendalian Kementerian Luar Negeri di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka kembali ke bumi Malaysia dalam masa terdekat.

‘’Semoga semua urusan perjalanan pulang anak-anak Malaysia ini dipermudah dan dilindungi Allah SWT,, Alhamdulillah!,’’ katanya melalui akaun Telegram beliau.
Pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di Eilat, Israel itu tiba di lapangan terbang berkenaan pada 3.50 petang waktu tempatan, lapor Anadolu Ajansi.
Seramai 137 orang daripada flotila itu, termasuk 36 warga Turkiye dan 23 rakyat Malaysia, tiba di Istanbul menerusi penerbangan berkenaan.
Ketibaan para aktivis itu disambut oleh pegawai dan orang ramai di lapangan terbang.
Selain warga Turkiye dan Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang dari Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia dan Jordan.


